Monday, 25 August 2014

Sifat-sifat Pakaian Wanita Islam



Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.

Secara ringkasnya, berikut ini ialah sifat-sifat pakaian wanita dalam Islam, sebagaimana yang dapat diambil kesimpulan dan isyarat-isyaratnya daripada Quran, Hadith dan ajaran para Ulamak dan Hukama' Islam :

  1. Pakaian itu mestilah menutup aurat.
  2. Pakaian itu tidak terlalu tipis sehingga tampak terbayang-bayang tubuh badan dari luar.
  3. Pakaian itu tidak sempit atau ketat, tetapi longgar atau selesa dipakai. Ia menutup bahagian-bahagian bentuk tubuh yang menggiurkan nafsu lelaki.
  4. Warna pakaian itu suram atau gelap, seperti warna hitam atau kelabu asap atau perang, sehingga tiada bernafsu lelaki melihatnya. ( Ini terutamanya pakaian luar, seperti jilbab atau abaya. Menurut Ibn Kathir, di dalam Tafsirnya, pakaian wanita-wanita pada zaman Nabi SAW ketika mereka keluar rumah, berwarna hitam).
  5. Pakaian itu tiada sekali-kali disemerbakkan dengan bau-bau yang harum, demikian juga tubuh badan perempuan itu, kerana bau-bauan ini ada pengaruhnya atas nafsu lelaki yang ajnabi. Perempuan yang memakai bau-bauan ketika keluar rumah, sehingga lelaki mencium baunya, disifatkan oleh Rasulullah SAW, sebagai zaniyah, yakni pelacur atau penzina.
  6. Pakaian itu tiada bertashabbuh dengan pakaian lelaki, yakni tiada meniru-niru atau menyerupai pakaian lelaki.
  7. Pakaian itu tiada bertashabbuh dengan pakaian perempuan-perempuan kafir dan musyrik.
  8. Pakaian itu bukanlah libasu sh-shuhrah, yakni pakaian bermegah-megah, untuk menunjuk-nunjuk atau berhias-hias.


Wanita di Tanah Arab pada zaman Jahiliyyah dahulu mendedahkan aurat mereka lebih kurang seperti wanita moden. Ada di antara mereka yang berkelubung menutup kepala dan belakang leher, tetapi mendedahkan muka, depan leher dan dada.

Hukum aurat dan hijab itu ialah untuk memelihara kesuciaan dan kemuliaan wanita, dan bukannya untuk menghina dan menyeksa mereka. Semoga Allah mengurniakan kita taufik, hidayah, 'inayah, kekuatan dan keikhlasan untuk mengamalkan perintahNya. Allahumma amin.



Waspadalah terhadap kerosakan Zaman, dan himpunlah anak-anakmu erat ke dadamu nan bidang --- anak-anak burung padang rumput ini yang belum tumbuh bulu untuk terbang, telah jatuh jauh dari sangkarnya yang hangat nyaman.

Tinggi, tinggi, keinginan yang bergelut dengan dirimu!
Teladan sempurna, Fatimah 'afifah itu,
Meskipun sekalian makhluk menta'ati suruhannya,
namun ia meneggelamkan iradatnya dalam keridhaan suaminya yang soleh.
Terdidik tabah dan rendah hati,
Sedang bibirnya mentilawah Kitab Suci, ia memutar kisaran gandum di rumahnya.....
Insaflah sentiasa akan tauladanmu, Fatimah,
Agar dahanmu akan membuahkab Husain yang baharu,
Tamansari kita berkembang mekar dengan Zaman Kencana.

// Antara rangkap petikan syair daripada 'Allamah Muhammad Iqbal (r.a) dengan syairnya yang bertajuk Remuzi-Bekhudi (Rahsia-rahsia Kelenyapan diri) yang ditulisnya dalam bahasa Farsi.//





Kitab Hijab
Wan Muhammad bin Wan Muhammad 'Ali
Pasir Mas, Kelantan


No comments:

Post a Comment